Lelaki juga mandul

0 comments
MASALAH kesuburan bukan pelik. Malah, kebanyakan pasangan baru berkahwin mengalami masalah ini, di mana mereka sukar mendapat zuriat. Namun, ia boleh berlaku kepada mereka yang lama berkahwin atau ada anak.

 Seorang wanita pernah memberitahu dia berusaha mendapatkan anak ketiga namun masih gagal selepas empat tahun mencuba. Ini menunjukkan ia boleh terjadi kepada sesiapa, tidak kira jika pada awalnya mereka ‘subur’ dan berjaya mendapatkan anak.

Pendek kata, kesuburan manusia tidak kekal selama-lamanya. Sama ada lelaki atau perempuan, kedua-duanya berisiko menghadapi masalah ini.

 Bagi lelaki, sperma dalam air mani boleh berkurangan atau tidak aktif selepas beberapa tahun meskipun sebelum itu ia aktif. Adakala, ada juga lelaki langsung tiada sperma selepas mempunyai dua atau tiga zuriat.

 Bagi lelaki yang ada masalah seperti ini, ia digelar kemandulan. Istilah ini digunakan bagi mereka yang tidak dapat menghasilkan benih atau sperma.

 Untuk suami yang mengalami masalah mandul selepas mempunyai anak, ia dipanggil masalah kemandulan sekunder, iaitu dia pernah subur tetapi kini tidak. Mereka yang mengalami masalah ini perlu menjalani ujian air mani. Mereka juga perlu menjalani pemeriksaan lebih komprehensif.

 Bagi pasangan yang mahu menambah cahaya mata, si suami terutamanya perlu mengamalkan gaya hidup sihat. Merokok, obesiti dan malas bersenam hanya menambah masalah kesuburan.

 Merokok dikenal pasti boleh menyebab kemandulan lelaki. Obesiti dan memakai pakaian dalam ketat membuat buah zakar terperangkap dalam lemak badan, maka dengan suhu badan tinggi, kilang sperma tidak dapat berfungsi dengan baik.

 Obesiti boleh menyebabkan tahap hormon testosterone menurun dan secara tidak langsung mengganggu proses penghasilan sperma. Kepada lelaki yang mengalami masalah kesuburan sekunder, hentikan merokok dan jika ada masalah obesiti, turunkan berat badan serta guna pakaian dalam longgar.

 Bagaimanapun, jarang keradangan boleh berlaku kepada buah zakar akibat infeksi kuman virus seperti ‘begok’ atau ‘non-specific’. Namun, jika keradangan buah zakar ketara, kilang buah zakar boleh rosak dan ia tidak dapat menghasilkan sperma.

 Kini dengan rawatan moden, sperma boleh disedut daripada salur kecil sperma dalam buah zakar untuk tujuan untuk disuntik kepada telur isteri dalam kaedah ICSI (Intracytoplasmic Sperm Injection Technique) dan hasilnya dimasukkan ke dalam rahim seperti kaedah bayi tabung uji.  Seperti saya syorkan kepada suami, mereka harus jalani pemeriksaan komprehensif dengan doktor pakar seperti ujian darah untuk mengukur tahap hormon FSH (hormon kesuburan) dan doktor akan beri rawatan sewajarnya selain mengamalkan gaya hidup sihat.

 Kepada yang mengalami masalah terbabit, teruskan usaha untuk mendapatkan anak. Mudah-mudahan berjaya. Sesiapa yang berminat berhubung dengan saya sila ke www.dsh.com.my atau dr_tambi@yahoo.com.

Sindrom zakar lebam

0 comments
SAYA berumur 20 tahun dan sering merasa sakit pada bahagian bawah tulang belakang. Kadangkala ketika ereksi, zakar saya bertahan berjam-jam, namun selepas empat atau lima jam, bahagian belakang, kantung buah zakar dan pangkal zakar terasa ngilu. Jika membuang air kecil, saya rasa sakit tersekat di salur air kencing. Namun jika berehat, baring dan tidur ia pulih serta-merta, tetapi bila zakar kembali tegang ia sakit semula. Apakah masalah sebenarnya? Saya ingin melangsungkan perkahwinan tetapi masalah ini membuatkan saya risau. MAT Gombak, Selangor

 Anda menyatakan kerap mengalami ereksi untuk jangkamasa panjang ketika berasa ghairah dan lepas itu, ia masih dalam keadaan separa erek dan anda terasa sengal di bahagian bawah tulang belakang dan di keseluruhan anggota kelamin. Perasaan itu hilang atau kurang apabila anda rehat atau tidur.

 Anda tidak menyatakan sama ada sudah cuba melegakan tekanan di kawasan anggota kelamin dengan onani seperti biasa dilakukan sebilangan lelaki apabila teruja seksual dan mengalami ‘kongesion’ atau kekembangan bahagian anggota kelamin.

 Bagaimanapun, jika onani kerap dilakukan, anda terasa letih, lesu, otot belakang kejang, mengantuk seperti tidak cukup tidur, kencing tidak lancar atau sakit dan pelbagai masalah lain. Pendek kata, perubahan yang anda alami ialah akibat rangsangan seksual.

 Teruja seks, maka ereksi berlaku. Ereksi kekal dengan takungan darah dalam otot zakar, maka otot zakar separa keras ketika anda tidak kemut. Ketika mahu membuang air kecil, ereksi masih kekal sedikit, maka jalanan air kencing dalam salur sempit menyakitkan salur kencing seketika. Semua tekanan ini hilang selepas tidur atau baring.

Sebenarnya fenomena yang anda alami jarang berlaku iaitu ‘blue balls’ atau ‘buah zakar lebam’. Ini kerana takungan darah yang banyak dalam buah zakar, pundi prostat, otot zakar dan sakit buah zakar serta hujung tulang tungking/belakang akibat kemasukan darah banyak di kawasan anggota kelamin akibat rangsangan seksual.

Senaman kegel dapat membantu

0 comments
SAYA terlalu cepat klimaks. Saya mencuba pelbagai cara seperti memakan ubat dan meminum kopi termasuk tongkat ali, tetapi masih tidak berhasil. Adakah ia satu penyakit dan bolehkah ia dirawat? ZACK Selangor

 Jika anda rujuk kepada laman Harian Metro on-line atau kolum Sakit Tuan, anda boleh teliti soal jawab mengenai tajuk sama. Mungkin anda boleh dapat beberapa tip untuk membantu anda meningkatkan lagi keseronokan hubungan intim bersama pasangan.

 Istilah cepat klimaks digunakan jika lelaki mencapai ejakulasi kurang dari seminit dan ini dikira ereksi masuk ke faraj. Ada juga klimaks berlaku sebelum penetrasi dilakukan dan ada kalanya sebelum sempat menanggalkan pakaian!

 Ereksi dan ejakulasi dua fenomena berbeza walaupun ia berlaku serentak, iaitu ereksi dulu dan kemudian ejakulasi. Ejakulasi boleh berlaku tanpa ereksi dan juga ereksi tanpa ejakulasi. Ada juga lelaki dapat kekalkan ereksi walaupun selepas ejakulasi. Namun fenomena ini tidak kekal jika lelaki itu tidak melakukan senaman Kegel atau senaman kemut. Jadi tusukan ereksi dalam faraj dengan ereksi didayung dalam kawalan ‘kemut’ membantu mengekalkan ereksi walaupun selepas berlaku ejakulasi!

 Senaman kemut dapat membantu memantapkan kawalan ereksi. Teknik hubungan kelamin yang dapat mengawal ejakulasi atau klimaks lelaki, ialah teknik persetubuhan ‘Coital Alignment Technique’ atau ‘CAT’.

 Anda boleh dapat banyak maklumat mengenainya di internet. Caranya mudah. Dayungan ereksi dalam faraj dilakukan dengan zakar kekal dalam faraj, zakar dijungkit supaya bahagian atas pangkal zakar dapat menekan langit faraj dalam dayungan. Penghujung zakar kekal dalam penghujung faraj dan tanpa geselan kepada bahagian itu, bahagian sensitif zakar itu tidak terkena sentuhan yang padu, lalu ia dapat bertahan.

 Anda perlu tahu, memakan ubat atau pil mengarut di pasaran gelap, mengurut zakar dengan minyak lintah atau menggunakan krim mengandungi gambir Sarawak akan melemahkan anggota kelamin dan mungkin menyebabkan alahan kepada kulit zakar dan faraj.

 Jangan mudah terpengaruh dengan penjualan cincin zakar tiruan yang dijual melalui internet, lebih-lebih lagi cincin keras diperbuat daripada kayu seperti cincin kayu hebat dan pelbagai lagi kerana boleh merosakkan zakar apabila darah membeku dalam otot zakar.

Mantapkan otot dada

0 comments
LELAKI memiliki buah dada besar yang seakan-akan wanita bukan perkara ganjil. Fakta turut menjelaskan, keadaan ini berlaku akibat penambahan hormon dalam badan. Ia dikenali sebagai ‘gynecomazia’ atau ‘male tits’. Ia biasanya berlaku kepada lelaki tanpa disedari. Namun, lebih ramai memiliki buah dada kerana memakan pil hormon wanita bagi menambah hormon terbabit dalam badan. Saya pernah menerima soalan pembaca mengatakan dia termakan pil hormon wanita dan dengan keadaan berat badan yang ketara, tidak hairan buah dadanya kelihatan menonjol. Pil hormon wanita yang dimakan mungkin tidak memberi perubahan ketara tetapi kepada lelaki obes, ia mudah menghasilkan hormon estrogen, oleh itu perubahan yang berlaku kepada buah dada dilihat sebagai akibat tindak balas obesiti! Untuk makluman, tiada krim atau jeli yang bertujuan mencairkan lemak terbabit. Bagaimanapun, ia boleh dilakukan dengan menyedut lemak daripada buah dada supaya kembali ‘kempis’ dan kaedah ini dikenali sebagai ‘lipo suction’. Namun, akibat proses terbabit, buah dada akan kelihatan melendut atau gelebeh dan kemudian ‘termasuk’ ke dalam badan. Oleh itu, saya sarankan jangan cuba kaedah itu. Kaedah terbaik untuk mengecilkan buah dada ialah dengan senaman menguruskan badan serta memantapkan otot dada supaya lebih mantap dan kelihatan lebih berotot. Bagaimanapun, jika cara ini tak atau kurang berkesan, cara seterusnya ialah menjalani kaedah pembedahan plastik pembuangan buah dada. Namun perlu diingat, buah dada anda adalah anugerah Allah. Ia ada fungsinya, sekurang-kurangnya sebagai anggota rangsangan seksual. Mana tahu, pasangan anda nanti menyukainya dan mungkin dapat memeriahkan hubungan suami isteri.

Rawat kencing ‘kotor’

0 comments
SAYA lelaki berumur 18 tahun. Sejak akhir-akhir ini, saya berasa sakit di pinggang dan ia terasa sangat pedih. Tiga bulan lalu, saya membuat pemeriksaan di hospital kerana sukar membuang air kecil. Keputusannya, saya tidak mengalami apa-apa penyakit serius dan ia hanya disebabkan masalah air kencing kotor. Sejak itu, saya mula bimbang kerana air kencing berwarna kuning dan kuantitinya tidak seimbang (terlalu sedikit dan terlalu banyak). Saya juga kerap membuang air kecil dan perut menjadi keras. Apakah masalah sebenarnya yang saya hadapi? AZROY Muar, Johor Anda mengalami simptom sakit bahagian belakang berdekatan kawasan buah pinggang, kencing berwarna kuning dan kandungannya tidak menentu. Begitupun, anda sudah merujuk kepada doktor untuk menjalani pemeriksaan. Kemungkinan doktor lakukan ujian kencing dan mendapati air kencing anda ‘kotor’, istilah am digunakan doktor untuk menjelaskan mengenai air kencing mengandungi kristal, sel dan kuman. Doktor juga menjalankan ujian imbasan atau ‘scanning’ terhadap pundi kencing dan kawasan buah pinggang dan mungkin tidak nampak apa- apa yang luar biasa seperti batu karang. Bagi saya, masalah anda kerana kencing kotor dan kini doktor anda memberi ubat sewajar untuk anda makan. Secara amnya, doktor terbabit sudah mengendalikan masalah ‘kencing kotor’ anda. Kini, anda perlu makan ubat sehingga habis dan ikuti nasihat doktor. Anda juga perlu minum air dengan secukupnya. Bagaimanapun, jangan risau jika simptom lain muncul, sebaliknya segera berjumpa doktor bagi mendapatkan kepastian dan rawatan mengenai penyakit terbabit. Kencing kotor tidak berbahaya tetapi harus dirawat. Paling penting, jangan mendiamkan diri dan berusaha seterusnya sehingga penyakit anda terubat.

Rawatan laser antara kaedah buang kutil

0 comments
SAYA terbaca artikel bertajuk ‘kutil boleh dirawat’. Untuk pengetahuan doktor, saya turut mengalami masalah terbabit. Di pangkal zakar saya ada satu kutil seperti daging berjuntai dan beberapa biji gelembung seperti biji kecil di zakar. Ia berbeza dengan kutil atau daging berjuntai yang saya sebutkan tadi. Ia seperti bintik atau ketulan biji berwarna gelap. Kini saya berasa risau sama ada adakah saya terkena jangkitan HPV atau sebaliknya. Saya berkahwin dua tahun lalu dan pernah menjalani ujian darah untuk memeriksa STD. Dalam ujian itu saya didapati tidak dijangkiti HIV, VDRL dan herpes, tetapi positif bagi Chlamydia. Bagaimanapun, doktor yang merawat saya menjelaskan ia tidak berbahaya. Adakah masalah kutil dan biji kecil yang saya hadapi itu terjadi disebabkan virus berkenaan? AZLAN Muar Syabas saya ucapkan kerana anda peka mengenai kesihatan seksual, yang bermaksud anda berani menjalani pemeriksaan saringan kuman dan kuman virus serta peka dengan penjaga kesihatan yang diperlukan memandangkan anda mempunyai gejala penyakit kelamin. Jangkitan kuman virus Chlamydia dapat dikesan melalui ujian darah dan tahap keganasan penyakit dapat diukur melalui ujian darah. Jika jangkitan itu didapati masih lagi aktif, rawatan sewajarnya akan diberi oleh doktor kepada anda dan pasangan. Mengenai gejala jangkitan herpes, nampaknya isteri anda mempunyai virus itu di dalam badannya, tapi tidak ada simptom seperti kemunculan gelembung kepada kulit di bahagian bibir atau bahagian genital (jika transmissi dari oral kegenital). Anda pula ada gejala jangkitan HPV di penghujung anggota kelamin. Kemungkinan pasangan anda terdedah kepadanya. Cara terbaik ialah pasangan anda mendapatkan suntikan vaksin HPV di mana-mana klinik. Sedikit sebanyak jika badannya membina kekuatan pertahanan badan kepada beberapa kuman HPV yang dikaitkan dengan kanser pangkal rahim, sudah tentu kesihatan seksualnya terjamin. Anda perlu mendapatkan rawatan untuk menghapuskan kutil terbabit. Ubat yang biasa disyorkan untuk kutil atau ketuat genital ialah ‘Aldara’. Ubat ini perlu mendapat arahan dan kebenaran daripada doktor terlebih dulu. Cara lain ialah rawatan ‘laser’, membakar atau kauteri. Ubat digunakan untuk ‘membakar’ ketuat di tapak kaki atau tangan tidak boleh digunakan pada anggota kelamin. Mengenai kutil besar di pangkal anggota kelamin anda, ia boleh dibedah dan dibuang oleh doktor jika anda mahu. Anda juga boleh berjumpa doktor keluarga untuk mengendalikan semua masalah berkaitan atau berjumpa pakar STD dan kulit atau pakar perubatan. Semua hospital kerajaan dan swasta mempunyai pakar terlatih yang dapat membantu anda.

Kesan jeli pengebas

0 comments
CEPAT klimaks adalah masalah yang membimbangkan lelaki dan pasangan wanita mereka. Jika berlaku setiap kali bersetubuh, ia masalah sepanjang hayat. Jika berlaku sekali sekala, ia dianggap masalah sekunder atau berlaku atas sebab tertentu seperti sudah lama tidak melakukan hubungan kelamin, menyebabkan lelaki sangat teruja dan cepat klimaks. Apabila pasangan kerap bersetubuh pula, masalah itu kurang atau tiada. Semua masalah disfungsi seksual lelaki, termasuk cepat klimaks, perlu dirujuk kepada doktor. Tips yang akan saya ketengahkan kali ini untuk mengukuhkan otot benteng zakar hanya untuk tujuan itu dan bukan sebagai rawatan untuk masalah cepat klimaks. Jika anda (lelaki) mempunyai penghujung zakar sensitif, ia menjadi masalah kerana memang sukar mengawal ejakulasi disebabkan perasaan nyilu itu. Jika perasaan nyilu dapat dikurangkan, ejakulasi mampu dikawal. Bagaimanapun, ia perlu mendapat pemeriksaan doktor dan jika perlu, mereka akan memberi jeli pengebas yang sesuai untuk tujuan itu. Begitupun, ramai cuba merawat sendiri masalah itu. Namun ingat, anda tidak bijak jika menggunakan krim dan jeli pengebas tiruan atau yang tidak diluluskan atau boleh memudaratkan atau menyebabkan alahan kulit seperti mengguna krim atau jeli gambir Sarawak. Sama juga jika anda membeli ubat yang kononnya dapat meningkatkan daya tahanan atau kawalan ejakulasi, kerana apa disyorkan penjual ubat atau maklumat mengenai ubat terbabit adalah tidak benar dan mungkin bertujuan melariskan produk. Bagi saya, tiada ubat yang dapat menahan dan menguatkan anggota kelamin kecuali ia beracun atau dalam bentuk ubat yang dikawal rapi. Jangan ambil jalan mudah dan hanya bergantung dengan cara rawatan sendiri untuk mengatasi masalah ini hanya kerana malu berjumpa doktor. Ubah sikap itu dan buat temujanji dengan doktor. Melalui pemeriksaan teliti dan bimbingan yang doktor berikan, anda dan pasangan akan mendapat maklumat tepat dan rawatan sebenar untuk menangani masalah anda.

Sakit ketika bersama

0 comments
SAYA berkahwin dua bulan lalu. Hubungan seks saya dan isteri adalah normal dan kadangkala kami melakukannya tiga hari berturut-turut. Masalahnya, bahagian kanan vagina isteri saya mengalami bengkak dan kadangkala dia terasa sakit ketika melakukan seks, di mana kedudukan zakar saya menujah ke sebelah kanannya. Saya risau dan memberhentikan aktiviti seks buat seketika. Saya harap doktor dapat menjelaskan apakah masalah ini supaya kami dapat mengatasinya. KARIL Shah Alam Anggota kelamin lelaki dan perempuan sememangnya direka untuk persetubuhan dan sepatutnya ia jadi tidak menyakitkan. Sakit ketika bersetubuh dikenali sebagai ‘dispareunia’. Isteri terasa sakit ketika anda lakukan tusukan menghala bahagian kanan faraj. Sebelum ini dia tidak mengadu sakit, justeru, anda juga menyatakan kerap bersama, yang sememangnya menjadi kelaziman pasangan baru berkahwin. Sepatutnya, hubungan seksual tidak menyakitkan kecuali jika ia ketika kali pertama dan sewaktu faraj kering. Jika ia menyakitkan dan kesakitan dapat dikesan pada tempat tertentu, mungkin bahagian faraj itu radang terkena jangkitan. Lebih-lebih lagi jika pasangan menyatakan dia mengalami pengeluaran cecair dan gatal. Jadi sebaik-baiknya ialah membawanya berjumpa doktor untuk pemeriksaan. Kini banyak doktor wanita yang boleh lakukan pemeriksaan untuk memastikan masalah sebenar supaya rawatan sewajarnya dapat diberi. Jika kesakitan itu hanya untuk beberapa hari, anda dan pasangan tidak perlu risau. Jika faraj pasangan anda kurang lembap dan hubungan seks kesat, anda boleh gunakan jeli pelicin dan pertingkatkan ‘foreplay’ atau pemanasan terhadap pasangan agar hubungan seks berjalan lancar.

Urat kerandut bengkak

0 comments
SAYA mengalami masalah di mana urat di kerandut (testis) membengkak dan timbul, tetapi tidak berasa sakit. Saya juga dapati beberapa benjolan kecil pada buah kerandut mula tumbuh tetapi ia tidak gatal atau sakit. Apakah masalah saya dan adakah ia disebabkan urat yang berpintal atau tersimpul di dalam kerandut zakar? LIM Seremban Kantung buah zakar mengandungi sepasang buah zakar. Jika diperiksa dengan jari, anda akan berasa ketulan di belakang buah zakar yang sebenarnya pundi epididimis. Adakalanya ia boleh mengandungi ‘cista’ atau ketumbuhan kecil. Jika pemeriksaan dilakukan di atas buah zakar, anda akan terasa urat bergumpal seperti cacing di dalam kantung. Ini kemungkinan pembuluh darah yang berpintal, di mana keadaan ini dikenali sebagai varikosel. Jarang sekali kantung mengandungi ketulan usus atau buah zakar rasa besar dan mengandungi cecair seperti air pasang atau usus. Jika kerap melakukan pemeriksaan kendiri, pasti anda berasa pelbagai perubahan terhadapnya. Begitupun, anda perlu dapatkan kepastian daripada doktor. Mengenai keadaan kulit kerandut pula, ia daripada jenis kulit lembut yang mengandungi lapisan otot lembut, membuatkan kerandut mudah kembang dan kuncup. Jarang sekali akar bulu roma kelihatan timbul dan ini mungkin sebab bulu roma dicukur dan pundi pelembap semula jadi dalam akar bulu roma terkandas. Selain itu, pundi pelembap kerandut terkandas dan kelihatan timbul semacam jerawat juga jarang terjadi. Ia dikenali sebagai jerawat kerandut. Bagaimanapun, mustahak untuk mendapatkan kepastian daripada doktor jika anda curiga mengenainya. Jangan merawatnya secara sendiri jika anda tidak pasti apakah masalah sebenar. Segera berjumpa doktor untuk mendapatkan kepastian.

Pastikan alat tulen

0 comments
TERLALU ramai tanya saya mengenai alat membesarkan anggota kelamin lelaki. Seperti mereka, saya juga tidak tahu mengenai kesahihan atau keberkesanan sesuatu produk digunakan untuk tujuan itu yang dijual di pasaran sekarang. Begitupun, untuk pengetahuan semua, saya mula tahu mengenai alat regangan otot zakar dipanggil ‘andropenis’ lebih kurang 23 tahun lalu di Eropah. Ketika itu saya menghadiri persidangan sakit tuan di Barcelona, Sepanyol. Alat ini kelihatan amat mudah penggunaannya dan penjelasan diberi pakar yang menciptanya boleh diterima. Kebetulan pula alat ini masih dalam kajian dan laporan awal menunjukkan ia selesa dipakai, mesra pengguna dan tidak memberi kesan negatif kepada anggota kelamin lelaki. Ketika itu, alat terbabit masih belum dipasarkan secara global, tetapi mula dipasarkan di sana. Alat berkenaan mempunyai reka bentuk tersendiri dan tidak boleh ditiru. Sebahagian daripada alat berkenaan dibuat daripada sejenis logam ringan yang membuatkan ia ringan apabila digunakan memandangkan ia perlu dipakai sembilan jam sehari! Saya membelinya dengan niat untuk mengkaji keberkesanannya, lebih-lebih lagi untuk lelaki Asia. Waktu itu, mata wang euro belum diperkenalkan dan kosnya juga murah, ditambah pula doktor yang menghadiri persidangan itu diberi potongan harga. Ketika di Malaysia, saya mencubanya. Alat berkenaan sebenarnya kecil dan tidak mudah dilihat jika tidak digunakan. Paling penting, keberkesanannya terbukti dan menakjubkan. Sejak alat ini dipasarkan secara global, saya memperkenalkannya di Malaysia pada awal 2004. Jadi alat ini berada dalam pasaran lebih 10 tahun lalu. Lebih 2,000 pesakit saya sudah menggunakan alat ini dan ternyata mereka juga berpuas hati dengannya. Ringkasan daripada hasil kajian terbabit saya paparkan dalam laman web rasmi alat regangan otot zakar, andropenis, iaitu www.andromedical.com. Bagi mereka yang ingin mendapatkan kepastian, sila layari laman web itu dan anda akan dapati alat terbabit mendapat pengiktirafan di serata dunia. Mereka yang banyak menggunakan alat ini adalah lelaki yang mempunyai zakar bengkok (akibat penyakit Peyronie) dan zakar kecil ketika ereksi iaitu antara lapan hingga 10 sentimeter. Tisu lembut seperti alat kelamin hanya boleh mengambil masa empat hingga lapan bulan dan pembesar zakar itu akan menjadi kekal. Penambahan saiz tertakluk kepada cara dan jangka masa penggunaannya. Penambahan antara dua hingga lima sentimeter panjang dan ukur lilit antara satu hingga dua sentimeter tidak mustahil diperoleh. Begitupun, kerana sambutan yang memberangsangkan, alat tiruan yang hampir sama dengan alat ini mula berada di pasaran dan dijual lebih murah. Malangnya, alat ciplak berkenaan juga tidak mendapat hak reka cipta dan ia mungkin boleh membahayakan pengguna jika digunakan kerana kualiti bahan dan logam digunakan. Jadi, berhati-hati jika mencari alat ini dan jangan terpedaya dengan alat palsu yang kini menguasai hampir keseluruhan pasaran di dalam dan luar negara. Saya sarankan mereka yang ingin menggunakan alat regangan ini supaya menjalani pemeriksaan terlebih dulu sebelum menggunakannya. Paling penting, pastikan alat yang digunakan itu tulen.

Sapu pelembap agar kulit selesa

0 comments
KANTUNG atau buah zakar saya mengalami kudis dan jerawat serta kulit menjadi kering dan bertukar warna. Kulit di kerandut zakar juga boleh tertanggal jika saya menggosoknya dan ia seolah-olah bersisik. Adakah masalah ini serius dan boleh memudaratkan kesihatan saya? HAMDI Sandakan, Sabah Masalah kulit yang anda alami dikenali sebagai ‘eczema’. Kulit kerandut buah zakar yang lembut dan mengandungi bulu roma serta pundi peluh dan pundi pelembap semula jadi ‘apokrin’ boleh meragam apabila ia kering dan tidak selesa dan akhirnya akan menjadi gatal. Menggaru akan membuatkan kulit kerandut menjadi radang dan secara tidak langsung membuatkan perasaan gatal itu lebih ketara. Jika kulit kerandut tercedera, kuman atau kulat akan memasuki alat kelamin dan menjadi aktif. Ini akan menambah kerosakan apabila masalah itu diberatkan lagi dengan jangkitan kuman. Paling penting, lelaki yang mengalami kegatalan kerandut zakar perlu menggunakan krim pelembap untuk melembutkan kulit kerandut dan menghentikan sementara tabiat mencukur bulu roma. Begitupun, jika anda gemar mencuci kerandut zakar dengan sabun, anda perlu menyapu krim pelembap selepas mengelapnya. Memakai pakaian dalam yang selesa, longgar dan terdedah yang memudahkan kulit menjadi kering dapat membantu membendung gejala gatal kulit dan eczema. Apabila kulit kerandut mengalami gejala gatal, luka, bersisik dan radang, mustahak untuk berjumpa doktor dan menjalani pemeriksaan dengan pakar sakit kulit. Doktor akan lakukan pemeriksaan untuk memastikan jika ada ciri tertentu mengenai gejala penyakit dan memberi rawatan sewajarnya. Untuk menjaga kulit kerandut buah zakar supaya selesa dan segar, lelaki perlu menggunakan pelembap selepas mencuci anggota kelamin atau selepas mandi.

Risau sering mimpi

0 comments
SAYA berusia 26 tahun dan belum berkahwin. Adakah kemungkinan air mani boleh keluar tanpa mengalami mimpi melakukan hubungan seks? Saya pernah beberapa kali tersedar daripada tidur dan mendapati kesan seperti tompokan air mani kering. Baru-baru ini, saya mengalami perkara sama tetapi terjaga. Saya cuba menahan daripada mengeluarkan air mani, tetapi gagal. Saya tidak fikir ia air mazi kerana jumlahnya boleh dikatakan banyak. Perkara sama juga berlaku selepas saya membuang air kecil. BOB Johor Air mani ialah campuran cecair daripada pundi aksesori anggota reproduktif lelaki dengan benih lelaki yang keluar secara ejakulasi, sama ada akibat kemuncak syahwat atau mimpi. Pundi aksesori anggota reproduktif lelaki itu membabitkan pundi prostat, pundi seminal, pundi Cowper, pundi epididimis dan pepundi daripada mukosa salur kencing. Jadi, cecair yang keluar daripada anggota kelamin anda adalah air mani dan bukan air kencing atau air mazi. Air mazi biasanya keluar apabila anda merasa teruja terhadap seks dan cecair jernih keluar jika ereksi itu dilurut. Cecair ini dihasilkan oleh pepundi dalam mukosa salur kencing. Sama juga jika anda berdehem atau mengemut selepas selesai buang air kecil. Cecair yang keluar walaupun berwarna kurang cerah, ia sebenarnya air mazi. Jarang perkara sama berlaku apabila anda meneran ketika membuang air besar. Cecair kekuningan itu datang daripada pundi prostat dan pundi seminal yang tertekan ketika najis merentasi usus besar dan menekan kawasan pundi. Air mazi itu najis dan anda perlu mencucinya sebelum mengambil wuduk. Bagaimanapun, anda tidak mandi wajib untuk membersihkan badan. Namun jika berasa was-was, anda perlu mandi wajib.

Ejakulasi ke belakang

0 comments
SAYA menerima e-mel daripada beberapa pembaca mengenai kegagalan mengeluarkan air mani walaupun mencapai kepuasan dalam hubungan seks. Mereka terasa hendak membuang air kecil selepas melakukan hubungan seks dan ketika itu, air mani serta kencingnya keluar sekali. Masalah ini dikenali sebagai ‘retrograde ejaculation’ atau ejakulasi ke belakang iaitu ejakulasi ke dalam pundi kencing. Ia sering berlaku kepada lelaki yang menghidap kencing manis kerana kerosakan urat saraf yang terbabit dengan sistem kawalan ejakulasi. Bagi lelaki yang mengalami masalah ini, apabila pintu yang membuka ruang salur kencing dari kawasan pundi prostat tidak terbuka ketika ejakulasi, air mani terus masuk ke dalam pundi kencing, yang mana ketika itu pintu pembukaan pundi kencing terbuka! Ada juga lelaki mengalami masalah sama akibat kesan sampingan ubat tekanan darah tinggi jenis ‘alpha-blockers’. Kini ubat itu jarang digunakan doktor. Ada lelaki yang pernah menjalani pembedahan prostat mengalami masalah serupa. Pembedahan prostat atau apa-apa prosedur untuk melonggarkan salur kencing boleh menyebabkan pintu dalam corong salur kencing antara kawasan prostat tertutup. Air mani yang termasuk ke dalam pundi kencing akan terdedah kepada air kencing yang berasid dan berkuman, menyebabkan sperma itu lemah dan mati. Bagi lelaki yang mengalami masalah ini, cara berkesan untuk membuat isteri hamil ialah melalui kaedah menapis sperma aktif daripada air kencing dan membersihkannya sebelum disalurkan ke dalam rahim isteri ketika isteri subur. Kaedah ini hanya boleh dilakukan oleh pusat perubatan yang menyediakan khidmat itu. Anda boleh rujuk kepada pusat perubatan terdekat untuk mengetahui sama ada mereka menyediakan kaedah itu. Anda juga boleh melakukan hubungan seks dengan pundi kencing separa penuh (berasa seperti mahu buang air kecil tetapi boleh tahan). Dalam keadaan itu, jika berlaku klimaks, ejakulasi boleh berlaku dan ada sedikit kemungkinan air kencing tercicir sedikit! Kadangkala ubat yang merangsangkan saraf seperti ubat ‘simpato mimitic’ boleh membantu. Semua rawatan ini hanya diberi di klinik atau hospital. Selain itu, air kencing boleh diperiksa selepas melakukan hubungan seks dan klimaks untuk memastikan sama ada sperma wujud di dalamnya. Doktor juga boleh memberi ubat untuk melegakan injap supaya ejakulasi boleh berlaku ke depan.

Sperma tak bergerak

0 comments
BARU-BARU ini, saya menjalani ujian sperma dan keputusannya mendapati saya mempunyai sperma tetapi ia tidak bergerak. Adakah sperma itu mati dan tidak boleh lagi digunakan? Adakah ia juga berpunca akibat pengambilan ubat darah tinggi seperti amlodiphine dan perindopril? NICK Kuala Lumpur Sebenarnya anda tidak perlu melakukan ujian air mani jika belum berkahwin atau mengalami masalah kesuburan. Biasanya, pasangan yang belum mendapat anak selepas berkahwin lebih dua tahun perlu menjalani ujian kesuburan, di mana satu daripadanya ialah ujian air mani. Hasil ujian dijalankan, anda didapati memiliki sperma dan ia sampai ke penghujung salur sperma. Dalam kes anda, mungkin ketika proses ejakulasi berlaku, sperma bercampur aduk dengan cecair dari pundi prostat dan pundi seminal, menyebabkan ia kaku serta tidak bergerak. Sperma itu tidak mati tetapi kaku akibat tindak balas antibodi sperma di mana kemungkinan ada sesuatu dalam cecair pundi prostat atau pundi seminal yang menyebabkan ia tidak bergerak. Jika air mani dibersihkan melalui prosedur ‘sperm washing’, ada kemungkinan sperma itu bergerak jika antibodi dapat dibersihkan. Untuk tujuan itu, anda perlu menjalani ujian air mani yang lebih komprehensif, di mana sebahagian air mani dibersihkan untuk mengetahui sama ada ia aktif atau sebaliknya. Tidak dinafikan sperma sangat sensitif dan penghasilannya boleh tergendala akibat kesan ubat-ubatan atau herba tertentu. Ubat untuk tekanan darah tinggi seperti amlodiphine atau mana-mana ‘calcium channel blockers’ didapati boleh mengganggu keaktifan sperma untuk sebahagian lelaki. Ini termasuk ubat antibiotik seperti tetracycline, macrolides, anti kulat dan ubat gastrik cimetadine atau herba tertentu seperti biji peria, biji betik, ekstrak bawang putih, lada hitam, produk kacang soya seperti taufu, B-pollen dan pelbagai lagi didapati boleh mengganggu penghasilan sperma lelaki. Namun demikian, tidak bermakna semua ubat dan herba itu boleh menjejaskan kesuburan lelaki. Ia bergantung kepada dos dan kekerapan pengambilan produk terbabit. Jika was-was dengan ubat berkenaan, doktor boleh memberi anda ubat yang tidak memberi kesan negatif kepada kesuburan.

Amal hidup sihat dan sisih tekanan

0 comments
SAYA berusia 27 tahun dan akan berkahwin tahun depan. Saya bimbang dengan prestasi seksual selepas terjebak dengan amalan onani sejak remaja. Saya risau amalan itu boleh menjejaskan hubungan seks saya dengan isteri. Saya terfikir untuk mengambil produk tertentu yang boleh meningkatkan prestasi seksual, terutama untuk beraksi lebih lama jika keadaan memaksa. KEN Kuala Lumpur Onani adalah tabiat biasa bagi kebanyakan lelaki sebaya anda iaitu satu cara melepaskan nafsu syahwat dan mengelak terjebak dengan maksiat. Anda pula tahu amalan itu boleh menyebabkan anda ketagih melakukannya. Jika itu berlaku, ia menyebabkan anda tertekan. Tekanan itu yang melemahkan tenaga batin, membuatkan anda lemah, kurang bertenaga, mudah lupa, nampak lebih berusia dan mungkin boleh menyebabkan mati pucuk. Yang penting, anda amalkan gaya hidup sihat seperti melakukan senaman berkala, mengawal berat badan, menjaga pemakanan dan beriadah untuk mengelakkan tekanan. Selain itu, jauhi amalan tidak sihat seperti merokok dan mengambil minuman keras. Saya nasihatkan anda jangan sesekali mencuba produk atau ubat tertentu yang didakwa boleh meningkatkan kemampuan seksual yang dijual di tepi jalan atau kedai ubat tertentu. Ini semua karut dan tidak berasas kerana jika ada masalah seksual, anda perlu berjumpa doktor, bukan merawat sendiri atau berjumpa bomoh atau tukang urut. Amalkan gaya hidup sihat dan berjumpa doktor untuk pemeriksaan kesihatan jika perlu. Selepas berkahwin, barulah anda dapat mengetahui tahap kesihatan seksual. Jika ada sesuatu yang tidak menyenangkan anda atau pasangan, segeralah berjumpa doktor.

Anak 2 jantina

0 comments
KELAHIRAN anak, sama ada lelaki atau perempuan, kadangkala bermasalah. Sama ada secara fizikal mahupun mental, setiap satunya memberi kesan kepada tumbesaran seseorang bayi itu. Masalah anggota kelamin seseorang bayi juga boleh terencat disebabkan faktor tertentu dan jika ia berlaku, ia dikenali sebagai Hipospadias dan Chordee. Jika anda mendapati bayi dilahirkan lelaki dan kebetulan anggota kelaminnya bermasalah seperti salur kencing terbuka di bawah kepala zakar, ia dikenali sebagai Hipospadias, manakala jika penghujung zakar melengkung ke bawah, ia dikenali sebagai Chordee. Jika masalah ini berlaku, saya pasti ramai akan beranggapan anak dilahirkan mengalami masalah kecelaruan jantina. Namun, jangan cepat melatah kerana jika masalah ini terjadi, doktor bertanggungjawab pasti melakukan pelbagai ujian bagi menentukan jantina anak anda. Antara ujian dilakukan doktor jika berlaku kekeliruan terhadap jantina seseorang bayi ialah ujian baka bagi menentukan gen XX untuk perempuan atau XY bagi lelaki. Bagaimanapun, ada juga kes seorang bayi dilahirkan mempunyai dua jantina dan dipanggil intersex atau khunsa. Keadaan ini juga boleh dikenal pasti melalui ujian penentuan baka. Masalah ini sering dikaitkan dengan masalah jantina. Namun, menentukan jantina anak yang mempunyai dua jantina adalah rumit. Kemungkinan besar, jantina bayi bermasalah seperti ini dapat dikenal pasti apabila mereka meningkat dewasa. Walaupun kebanyakan kanak-kanak akan tahu mengenai jantinanya, proses pengenalan diri dan jantina atau orientasi seksual adalah proses dinamik dan rumit. Kesedaran itu juga lebih mantap apabila kanak-kanak itu mencapai usia akhil baligh dan mula memahami jiwanya. Jadi sebagai ibu bapa yang mengasuh anak, anda dapat memerhatikan perubahan perwatakan dan tingkah lakunya secara dekat dan jika ada yang meragukan, anda boleh rujuk kepada pakar. Masalah ini tidak harus dipandang remeh. Jika ia berlaku kepada anda, saya sarankan anda mendengar dan mendapatkan bantuan pakar.

Jauhi tabiat onani

0 comments
ZAKAR saya tidak keras dan susah menegang. Ia mungkin kesan daripada kekerapan saya melakukan onani satu masa dulu. Sehingga ini, saya masih dihantui masalah itu. KIMI Pahang Untuk lelaki, zakar satu-satunya organ yang sukar dikawal minda. Bayangkan, sejak di dalam perut ibu, zakar menunjukkan fungsinya apabila doktor mudah mengenal pasti jantina anak lelaki ketika janin yang cukup sifat mencapai ereksi. Ereksi janin lelaki kerap berlaku, lebih-lebih lagi ketika mahu membuang air kecil, dan proses ini kekal sehingga bayi lelaki itu mahu dilahirkan. Kanak-kanak lelaki mula mengenali ereksi apabila dia menyentuhnya. Sememangnya anggota itu sensitif kepada sentuhan dan apabila teruja, ia akan tegang. Proses akil baligh membuatkan anggota kelamin itu lebih aktif akibat tindak balas hormon testosteron dan membuatkan perasaan menjadi teruja dengan pengeluaran air mani. Apabila perasaan itu dapat dikawal, proses ereksi juga dapat dikawal kecuali ereksi spontan seperti ereksi pagi dan ereksi akibat sentuhan kepada zakar. Anda boleh tahu anggota kelamin anda menjalankan fungsinya apabila merangsangnya. Apabila anggota itu keletihan, tindak balasnya kurang dan ketika itu ia tidak akan mengikut kehendak anda. Ia tidak akan keras atau menegang seperti yang anda mahu. Jadi tanggapan bahawa anggota kelamin anda tidak atau kurang tegang pada waktu pagi atau pada waktu ia sepatutnya menegang disebabkan aktiviti onani, memang tepat. Anggota kelamin mempunyai fungsi tertentu. Ia mengikut ragam fungsinya dan bukan ragam tuannya. Jauhi tabiat onani kerana ia hanya mendatangkan keburukan. Elak memberi tekanan kepada anggota kelamin anda. Insya-Allah, ia akan jadi sihat dan sempurna.

Testis terasa panas

0 comments
SAYA mengalami masalah keselesaan pada testis kiri. Ketika melakukan pemeriksaan kendiri, saya dapati tiada perubahan saiz tetapi ia terasa panas dan sakit. Perkara ini berlanjutan sehingga dua minggu dan kesannya, paha terasa lemah manakala bahagian bawah perut pula mengalami kesakitan. Keadaan ini mengganggu kehidupan saya. Adakah saya perlu melakukan CT Scan? JOHAN Sabah Masalah buah zakar atau testis selalu merisaukan lelaki kerana organ itu penting. Jika ada sesuatu yang tidak kena terhadapnya walaupun ia perkara normal, ia pasti mengganggu ketenteraman minda. Jika masalah dialami itu baru, ia perkara yang baru berlaku, namun jika sudah lama dialami dan kerap berlaku, ia adalah masalah kronik. Anda menyatakan buah zakar kiri rasa kurang selesa dan panas dan ini berlaku sejak beberapa minggu. Menurut anda, rupa dan keadaan buah zakar itu biasa dan tiada perubahan fizikal. Soalnya, adakah anda tahu apa berlaku terhadap buah zakar itu jika anda tidak pernah melakukan pemeriksaan kendiri? Pemeriksaan kendiri buah zakar atau ‘Self Testicular Examination’ memerlukan anda memeriksa kedua-dua buah zakar secara kerap, sekurang-kurangnya sebulan sekali. Jika anda melakukannya, tentu anda akan tahu jika ada perubahan kepada buah zakar, memandangkan buah zakar yang dimaksudkan itu terasa panas dan kurang selesa. Anda perlu merujuk kepada doktor untuk pemeriksaan teliti. Jika perasaan tidak selesa itu hanya sementara, mungkin ia bukan masalah. Namun jika perasaan tidak selesa itu kekal dan berpanjangan dan ada perasaan tambahan seperti lenguh paha dan sakit bahagian kiri bawah perut, ia memerlukan pemeriksaan segera. Perasaan sakit atau kurang selesa buah zakar boleh berlaku akibat tekanan kepada buah zakar seperti tercedera atau terhentak atau terpulas. Ada kemungkinan juga bahagian dalamannya menjadi radang, seperti keradangan pundi epididimis atau buah zakar radang seperti ‘orkitis’ atau mungkin kedua-duanya sekali kerana jangkitan jangkitan. Begitupun, ia mungkin disebabkan pembuluh darah buah zakar berpintal dan mengembang, di mana situasi ini dikenali sebagai ‘varokosel’. Jika masalah ini berlaku, buah zakar akan terasa panas, perasaan sengal berlaku dan boleh menular ke bahagian bawah perut dan paha! Begitupun, jangan pula mendapatkan rawatan pengamal tradisional seperti tukang urut, bomoh atau dukun. Menggunakan kekerasan seperti urutan atau menuam buah zakar dengan benda panas boleh merosakkan kilang sperma dan anda mungkin menjadi mandul. Segera berjumpa doktor jika anda masih kurang selesa dengan keadaan itu.

Suami perlu tahan lama

0 comments
DALAM setiap perkahwinan, seks antara pelengkap kebahagiaan. Hubungan seks yang menyeronokkan membantu setiap pasangan menjalani kehidupan dengan lebih sempurna. Tidak dinafikan, kegagalan dalam hubungan seks mampu menjadikan rumah tangga berantakan hingga membawa kepada perceraian! Saya kerap dihujani pertanyaan daripada lelaki yang gagal dalam persetubuhan apabila ketegangan atau ereksi kemaluan tidak bertahan lama. Apabila mahu memasukkannya, ia mengendur! Ia berbeza jika mereka melakukan onani, di mana zakar dapat ereksi lebih lama. Masalah sedemikian boleh menyebabkan tekanan kepada suami kerana tidak dapat memuaskan isteri, manakala isteri pula pasti kecewa. Untuk mengatasi masalah itu, anda perlu memantapkan otot kemutan supaya ereksi dalam keadaan tegap dan padat. Otot kemutan digunakan untuk menahan najis dan kencing. Jika kekuatannya sempurna, otot kemutan boleh dikekalkan kemutan ketika bergerak atau berdayung sewaktu bersama. Apabila terasa hendak klimaks, hentikan pergerakan dan apabila perasaan hendak klimaks itu hilang, teruskan dayungan dengan memadatkan kemutan! Lakukan senaman kemutan atau ‘kegel’ (mencengkam otot pembukaan lubang najis dan lubang kencing) 10 hingga 20 kali setiap sesi. Dalam sehari, anda boleh melakukan sekurang-kurangnya empat sesi. Ada juga lelaki mengalami keciciran darah daripada salur ven ketika ereksi dan lama-kelamaan, ereksi menjadi kendur jika tiada rangsangan. Ereksi kekal ketika onani kerana rangsangan dilakukan dengan tangan. Ini tidak berlaku ketika bersetubuh dengan pasangan kerana rangsangan daripada isteri tidak sama dengan tangan, tambahan pula apabila individu itu terikat dengan tabiat onani! DALAM setiap perkahwinan, seks antara pelengkap kebahagiaan. Hubungan seks yang menyeronokkan membantu setiap pasangan menjalani kehidupan dengan lebih sempurna. Tidak dinafikan, kegagalan dalam hubungan seks mampu menjadikan rumah tangga berantakan hingga membawa kepada perceraian! Saya kerap dihujani pertanyaan daripada lelaki yang gagal dalam persetubuhan apabila ketegangan atau ereksi zakar tidak bertahan lama. Apabila mahu memasukkannya ke dalam faraj isteri, ia mengendur! Ia berbeza jika mereka melakukan onani, di mana zakar dapat ereksi lebih lama. Masalah sedemikian boleh menyebabkan tekanan kepada suami kerana tidak dapat memuaskan isteri, manakala isteri pula pasti kecewa. Untuk mengatasi masalah itu, anda perlu memantapkan otot kemutan supaya ereksi dalam keadaan tegap dan padat. Otot kemutan digunakan untuk menahan najis dan kencing. Jika kekuatannya sempurna, otot kemutan boleh dikekalkan kemutan ketika bergerak atau berdayung sewaktu bersetubuh. Apabila terasa hendak klimaks, hentikan pergerakan dan apabila perasaan hendak klimaks itu hilang, teruskan dayungan dengan memadatkan kemutan! Lakukan senaman kemutan atau ‘kegel’ (mencengkam otot pembukaan lubang najis dan lubang kencing) 10 hingga 20 kali setiap sesi. Dalam sehari, anda boleh melakukan sekurang-kurangnya empat sesi. Ada juga lelaki mengalami keciciran darah daripada salur ven ketika ereksi dan lama-kelamaan, ereksi menjadi kendur jika tiada rangsangan. Ereksi kekal ketika onani kerana rangsangan dilakukan dengan tangan. Ini tidak berlaku ketika bersetubuh dengan pasangan kerana rangsangan daripada faraj tidak sama dengan tangan, tambahan pula apabila individu itu terikat dengan tabiat onani!

Jangan gelojoh

0 comments
BAGAIMANAKAH cara terbaik untuk melengahkan ejakulasi ketika bersetubuh? HAL Lumut, Perak Untuk melengahkan proses ejakulasi, pastikan pergerakan ketika bersetubuh itu terkawal. Gerakkan ereksi dengan kemutan dalam keadaan zakar padat yang berlaku akibat kemutan. Zakar yang bergerak dengan kekuatan dan sokongan otot kemutan dapat bertahan lama. Selain itu, anda perlu mengawal minda dan jangan terlalu gelojoh yang boleh menyebabkan ejakulasi berlaku awal.

Salur kencing radang punca sakit

0 comments
KETIKA membuang air kecil, hujung zakar saya terasa sakit, sengal dan ngilu sehingga terpaksa membuang air kecil dengan perlahan-lahan sambil menahan kesakitan. Adakah masalah yang saya alami berbahaya? NICK Seremban Rasa sakit atau ngilu di hujung zakar mungkin akibat keradangan atau bengkak yang berlaku kerana perbuatan rangsangan (misalnya onani) kepada bahagian itu. Apabila keradangan hilang, rasa sakit berkurangan dan lama-kelamaan akan pulih. Jika rangsangan kerap dilakukan, keradangan sukar hilang dan rasa sakit akan berterusan. Selain perkara diperjelaskan tadi yang menjadi penyebab masalah, keradangan salur kencing boleh mengakibatkan rasa sakit ketika mahu kencing. Jika hendakkan kepastian, sila jumpa doktor untuk pemeriksaan. Jangan biarkan perkara itu berlarutan kerana jangkitan boleh merebak ke dalam dan mengakibatkan keradangan pundi kencing, salur ureter dan buah pinggang. Jika masalah itu memang punca daripada rangsangan oral keterlaluan, elakkan atau kurangkan amalan itu.

Usah keliru pada cairan

0 comments
AIR mani atau air mazi? Ini yang mengelirukan segelintir lelaki, terutama remaja yang merasakan mereka sudah klimaks walaupun tanpa melakukan hubungan seks atau onani. Kekeliruan ini timbul berikutan cairan yang keluar daripada zakar ketika dan sewaktu buang air kecil atau besar. Ini menyebabkan ada lelaki bimbang kerana menyangka mereka sudah klimaks walaupun ketika buang air besar atau kecil. Cairan berkenaan adalah air mazi yang biasanya keluar ketika lelaki dalam keadaan teruja seksual atau mengemut ketika membuang air besar atau air kecil. Sebenarnya, air mani hanya keluar secara ejakulasi ketika lelaki terbabit mencapai klimaks selepas melakukan hubungan seks atau beronani. Jika lelaki itu teruja ketika dalam khayalan seksual, air mazi akan keluar. Ada lelaki menganggap cairan keluar ketika berkhayal mengenai seks sebagai air mani, sedangkan ia sebaliknya. Jangan keliru antara air mani dan air mazi. Memang segelintir lelaki menghasilkan banyak cairan dalam keadaan teruja seksual atau mengemut ketika selesai buang air besar atau air kecil. Mungkin kerana banyak sangat cairan itu, lelaki menyangka ia air mani. Air mazi bukan saja berwarna jernih, malah kelabu dan kekuningan selain berkrim. Apabila di luar, ia berubah warna jernih atau sedikit kekuningan. Jadi, daripada segi keagamaan, jika keluar air mazi, tidak perlu mandi hadas besar. Bagaimanapun, ia perlu dibersihkan sebelum sembahyang. Untuk maklumat juga, air mazi boleh mengandungi sedikit sperma.

Saiz bukan masalah

0 comments
SAYA berusia 16 tahun dan kerap melakukan onani. Namun ketika ejakulasi, air mani tidak terpancut, sebaliknya hanya meleleh. Untuk pengetahuan doktor, saya tinggal di asrama dan pernah melihat zakar rakan sebaya ketika kami mandi beramai-ramai. Namun saya pelik kerana saiz zakar saya tidak sama dengan mereka. Zakar saya seolah-olah tidak membesar kerana walaupun berusia 16 tahun, saiznya sama seperti tiga empat tahun lalu. REMAJA RUNSING Klang, Selangor Anda mungkin memiliki zakar yang saiznya kecil ketika tidak ereksi tetapi membesar dan memanjang ketika ereksi. Keadaan ini memang biasa bagi lelaki yang memiliki zakar jenis ‘grower’ atau boleh membesar dan berkemampuan membesar ketika ereksi. Jangan bandingkan dengan zakar rakan anda kerana mereka mungkin memiliki zakar yang tetap kelihatan panjang dan besar ketika tidak ereksi. Untuk pengetahuan anda, mereka memiliki jenis zakar yang saiznya sama ketika ereksi dan tidak ereksi. Jangan tertekan dengan keadaan zakar anda kerana anda baru berusia 16 tahun. Masih ada banyak masa untuk zakar itu membina secara semula jadi. Paling penting adalah saiz dan bentuk zakar ketika ereksi, bukan ketika tidak ereksi, kerana ia penting untuk melakukan hubungan seks. Jika keadaannya masih tidak berubah ketika berusia 22 atau 23 tahun, anda boleh mendapatkan nasihat doktor. Buat masa ini, jangan fikirkan sangat perkara itu kerana yang penting ialah tumpuan kepada pelajaran selain kurangkan amalan onani.

Tompok merah pada kemaluan

0 comments
SAYA berusia 34 tahun, sudah berkahwin dan ada dua anak. Yang merunsingkan saya ialah kewujudan beberapa tompok kemerahan di sekeliling kepala zakar. Walaupun tidak sakit atau gatal, ia tetap merisaukan saya, lebih-lebih lagi ia bertukar warna daripada merah kepada hitam. JOHN Besut, Terengganu Lapisan kulit kepala zakar atau ‘glans penis’ ialah jenis kulit mukosa iaitu lembut dan licin. Kulit jenis ini tidak mudah menggelupas jika berlaku radang dan hanya kelihatan kemerah-merahan sebelum bertukar menjadi hitam. Saya tidak pasti sama ada anda mengalami masalah begini kerana perubahan kulit hanya daripada segi warna. Ia juga berlaku akibat penggunaan krim atau jeli yang biasa diguna untuk membantu masalah cepat klimaks, mungkin menyebabkan alahan. Jika anda tidak menggunakan apa-apa krim, tompok kemerahan itu mungkin biasa. Jika tidak berasa sakit dan tidak dapat mengaitkannya dengan apa-apa punca yang menyebabkan ia menjadi merah, anda tidak perlu bimbang. Namun, jika masih bimbang, sila berjumpa pakar kulit.

Anda tidak keseorangan

0 comments
TIDAK dinafikan, masalah mati pucuk sangat ditakuti lelaki. Mati pucuk bererti lelaki itu tidak mampu mencapai ereksi mencukupi dan kekal untuk memasukkannya ke dalam faraj pasangan. Yang pasti, ia tamparan hebat buat lelaki dan membuatkannya hilang kejantanan. Percaya atau tidak, ini yang berada dalam kepala setiap lelaki. Lelaki yang mati pucuk ada perasaan dan nafsu syahwat. Mereka rasa tertekan kerana tidak dapat melakukan perkara menyeronokkan dan tidak hairan jika mereka mengalami perubahan mood dan tingkah laku negatif. Jarang lelaki muda mati pucuk. Jika ia berlaku, mungkin ada masalah kesihatan terselindung dan elok dia berjumpa doktor untuk pemeriksaan dan rawatan. Kini rawatan moden dapat membantu sebilangan besar lelaki mati pucuk. Rawatan tradisional seperti urut tidak berkesan, malah memudaratkan. Jangan percaya pada fahaman karut dan khurafat kononnya mati pucuk akibat buatan orang. Yang mustahak, lelaki yang mengalami mati pucuk perlu memahami dia tidak bersendirian dalam masalah ini. Kajian di Malaysia mendapati 2.3 juta lelaki Malaysia berumur 40 tahun dan ke atas mengalami mati pucuk dan angkanya mungkin lebih jika turut dimasukkan jumlah lelaki muda. Soalnya, jangan mendiamkan diri, sebaliknya dapatkan bantuan doktor. Mati pucuk boleh mengakibatkan masalah kesuburan kepada pasangan kelamin kerana suami tidak dapat memasukkan ereksi ke dalam faraj isteri untuk menyalurkan air mani yang mengandungi sperma. Air mani dapat dimasukkan ke dalam faraj sama ada doktor yang melakukannya melalui prosedur penyemaian mani berhadas (artificial insemination husband) atau suami itu sendiri (mengeluarkan air mani secara onani dan menyuntiknya ke dalam faraj dengan alat penyuntik tanpa menggunakan jarum). Zakar yang tidak menegang pun boleh terpancut air mani jika dirangsang. Bagi wanita yang prihatin hal ehwal kesihatan pasangan atau kawan, tidak salah memberi sokongan dan motivasi supaya mereka berjumpa doktor untuk pemeriksaan.

Perlu keyakinan diri

0 comments
TAHUN lalu saya mengalami kemalangan kereta dan ia mendatangkan kesan kepada zakar saya apabila ia tidak mampu menegang atau ereksi. Namun, zakar saya boleh ereksi seperti biasa selepas saya pergi berurut. Bagaimanapun, selang beberapa bulan, masalah itu berulang semula. Ia tidak berlaku berterusan, tetapi sebanyak enam kali dalam jangka masa itu. Kini zakar saya kembali normal, tetapi saya bimbang jika ia berulang, terutama apabila saya berkahwin nanti. Adakah ini masalah pada peringkat awal mati pucuk? Apakah rawatan sesuai? MOOD Melaka Zakar mengandungi rangkaian urat saraf serta saluran darah yang sensitif. Ereksi atau ketegangan zakar terjadi apabila pusat kawalan perasaan syahwat terangsang dan mesej itu dihantar ke pusat kawalan ereksi. Urat saraf mengeluarkan sejenis kimia yang diserap ke dalam otot pembuluh darah dalam zakar dan melegakan otot pembuluh darah. Pengaliran darah akan masuk banyak ke dalam otot zakar sehingga ia padat dan tegang. Semua ini berlaku serentak dan pantas jika rangkaian urat saraf dan sistem saluran darah tidak terganggu. Kecederaan pada zakar atau bahagian berdekatannya sedikit sebanyak mengganggu kelancaran sistem serta mengganggu ereksi. Kebiasaannya kecederaan ringan membabitkan tisu lembut tidak serius. Apabila tisu lembut itu pulih, keadaan akan menjadi seperti sedia kala. Didapati ramai lelaki yang mengalami masalah sebegini rasa tertekan dan gagal mendapat ereksi walaupun kecederaannya pulih. Ini kerana kurang keyakinan diri dan mudah terpengaruh kata-kata tukang urut yang sentiasa negatif kerana hendak memasar perniagaannya. Mengurut tisu tercedera boleh mengundang nahas kerana kecederaan itu menjadi lebih teruk. Urutan adalah untuk menyegarkan otot tulang dan bukan otot zakar! Lagipun, perasaan tertekan itu mengakibatkan pengeluaran adrenalin yang menjerut perjalanan darah ke anggota terangsang dan membantutkan kemasukan darah ke dalamnya.

Kerap buang air kecil

0 comments
SAYA berusia 32 tahun dan mengalami masalah kerap membuang air kecil hingga merunsingkan saya. Masalah ini menyukarkan saya, terutama ketika menaiki bas atau komuter untuk ke tempat kerja atau menonton wayang. Selain itu, buah zakar sebelah kanan saya terletak ke bawah berbanding sebelah kiri. Adakah ia boleh mengganggu proses penghasilan sperma? BRAHIM Ampang, Selangor Proses pembuangan air kencing atau ‘urination’ berada dalam kawalan hormon ADH atau hormon yang mengurangkan kencing. Dalam keadaan gelisah dan gementar, ADH kurang keluar dan lelaki itu terasa hendak membuang air kecil. Kadangkala minum air banyak atau minum minuman yang merangsangkan perasaan untuk membuang air kecil akan mengakibatkan lelaki itu kerap membuang air kecil. Apabila air dikurangkan dan minuman yang merangsangkan tidak lagi diminum, perasaan hendak kencing akan reda. Kedudukan buah zakar sememangnya tidak seimbang walaupun pada waktu tertentu ia kelihatan seperti seimbang. Ini kerana otot yang menampung buah zakar, iaitu otot kremester berasingan untuk buah zakar dan kadangkala otot kremester kanan lebih mencengkam berbanding yang kiri atau sebaliknya dan ia mempengaruhi kedudukan buah zakar dalam kerandut. Ada sebahagian lelaki mempunyai pembuluh darah yang berpintal dan mengembang (masalah varikosel) dan ia mengakibatkan buah zakar itu kelihatan lebih ke bawah. Jika buah zakar itu seimbang tetapi tidak normal daripada segi saiz dan bentuk, ia mungkin petanda masalah kesuburan. Jika ada kemusykilan mengenai keadaan buah zakar, elok jumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan.

Puasa waktu hamil?

0 comments
RAMAI pasangan bimbang mengadakan hubungan kelamin ketika isteri hamil kerana kononnya boleh mengganggu janin. Terus terang saya katakan, ini pandangan sempit kerana kehamilan itu semula jadi dan bukan masalah. Kepada si suami yang sanggup ‘berpuasa’ dari awal kehamilan isteri hingga tamat tempoh berpantang selepas bersalin, anda suami malang kerana tidak mengadakan hubungan halal selama berbulan-bulan. Sebenarnya, kedudukan janin dalam rahim dan posisi rahim tidak sehala dengan faraj. Maka, tidak timbul kemungkinan ereksi suami mengganggu rahim. Hanya ada kemungkinan cengkaman boleh berlaku kepada rahim ketika isteri klimaks, ini pun pada awal kehamilan. Jika isteri tidak klimaks, keadaan ini tidak berlaku. Jarang berlaku pendarahan pada peringkat awal hamil. Jika ada tompok coklat keluar selepas beberapa hari lewat haid dan kebetulan wanita itu hamil, ia dikenali sebagai pelekatan janin. Jika pendarahan ringan berlaku ketika awal tiga bulan hamil, wanita itu perlu segera berjumpa doktor dan mengelak melakukan hubungan kelamin. Jika kehamilan masih aktif, doktor akan memberi ubat sewajarnya untuk mengukuhkan kedudukan janin dan jika kehamilan berjalan lancar, hubungan kelamin boleh dilakukan tanpa was-was. Jarang pendarahan berulang selepas kehamilan masuk bulan keempat. Jika berlaku, hentikan hubungan sehingga kedudukan kehamilan stabil semula dan tiada kesan pendarahan. Selepas dua atau tiga minggu, baru hubungan kelamin boleh dilakukan dengan izin doktor. Hubungan boleh dilakukan jika pasangan ingin melakukannya. Posisi adalah mengikut keselesaan isteri dan penetrasi boleh dilakukan tanpa mengenakan kekerasan. Posisi paling sesuai ialah isteri mengiring dan suami mengiring di belakangnya serta masuk dari belakang. Dengan cara ini, kemasukan ereksi suami hanya sedikit dan di antara bibir besar dan kecil. Sentuhan mencukupi untuk suami mencapai klimaks. Tiada sebab kenapa persetubuhan perlu dihentikan beberapa minggu sebelum isteri bersalin. Ada keadaan proses kelahiran boleh tercetus ketika suami dan isteri rancak melakukan persetubuhan. Ini jarang berlaku tetapi bukan satu risiko. Jika pasangan memutuskan untuk tidak melakukan hubungan seks penetratif, tidak mengapa. Yang mustahak, mereka mesra dan ceria selalu kerana ini akan memantapkan hubungan di antara bakal ayah dan ibu.

Sukar capai ejakulasi

0 comments
SAYA baru berusia 21 tahun. Yang membimbangkan saya sekarang ialah, saya sukar mencapai ejakulasi. Kadangkala saya perlu berbaring untuk mencapai ejakulasi dan ia mengambil masa lebih setengah jam. Adakah ini satu penyakit dan bagaimana mahu merawatnya? Untuk pengetahuan doktor, saya pernah mengadakan hubungan seks dengan teman wanita serta kerap melakukan onani. Saya juga pernah menghidap sifilis tapi sudah sembuh. Masalah lambat ejakulasi dikesan selepas saya pulih daripada penyakit berkenaan. PUTERA Kuala Lumpur Memandangkan anda terbabit dalam aktiviti seks rambang sejak muda dan pernah dijangkiti penyakit kelamin, anda mungkin tidak menyedari bahawa anda juga membawa penyakit kelamin lain walaupun dikatakan sembuh. Kajian mendapati 80 hingga 90 peratus individu yang terbabit dengan aktiviti seks rambang, tidak tahu mereka terkena jangkitan penyakit sifilis lain seperti herpes, HPV (kuman virus Papilloma), hepatitis B, chlymidia dan HIV kerana kebanyakan jangkitan itu tidak menunjukkan kesan ketara kepada pembawa. Orang yang menjadi mangsa ialah pasangannya apabila berkahwin kelak. Mengenai masalah ejakulasi anda, jika ujian darah yang dilakukan menunjukkan anda bebas sepenuhnya daripada sifilis, ia mungkin berpunca daripada masalah lain. Selain penyakit kronik seperti kencing manis, masalah urat saraf, penyakit prostat seperti keradangan prostat, stres, keletihan, kurang minat terhadap pasangan dan keresahan juga boleh mengakibatkan lambat ejakulasi. Masalah ini juga boleh berlaku jika orang yang mengalaminya mengambil alkohol atau dadah. Yang boleh saya katakan, anda mungkin mudah bosan melakukan hubungan seks dengan satu pasangan kerana anda sudah biasa sangat dengannya. Jadi, hubungan seks tidak lagi sesuatu yang istimewa buat anda. Cara terbaik ialah hentikan aktiviti seks rambang dan jalani ujian darah untuk mengesan jika virus penyakit kelamin itu masih wujud.

Jahitan khatan kelihatan hodoh

0 comments
BOLEHKAH saya berkhatan buat kali kedua? Saya mahu lakukannya kerana kesan parut khatan pada zakar nampak ketara dan hodoh serta jahitan dilakukan doktor pada waktu itu tidak sempurna. MANAF Selangor Prosedur berkhatan untuk lelaki membabitkan pembedahan bagi memotong kulit yang menutup kepala zakar supaya bahagian itu dapat dilihat. Proses ini sebenarnya sangat mustahak kerana selain faktor kebersihan, ia menjadi rawatan untuk lelaki yang mengalami masalah kulit penghujung zakar tidak terbuka atau sempit yang turut dikenali sebagai ‘buta’ hingga menyukarkan kepala zakar keluar ketika ia ereksi. Yang saya faham, anda sudah menjalani prosedur berkhatan seperti mana lelaki Islam lain ketika kanak-kanak dulu dan sekarang, mahu berkhatan kali kedua kerana jahitan dilakukan doktor terdahulu hodoh. Kes anda tidak termasuk dalam rawatan atau pemulihan prosedur berkhatan kerana kepala zakar tidak lagi memiliki kulit. Jika anda memotong kulit yang menutupi zakar sekarang, sudah tentu kulit hujungnya menjadi semakin pendek! Ini bahaya kerana boleh menyebabkan ereksi terperangkap kerana ia tidak dapat keluar secara sempurna kerana tak cukup kulit. Yang mustahak dalam berkhatan ialah kepala zakar terkeluar daripada kulit serta sihat dan tidak menyakitkan zakar ketika ereksi. Saya difahamkan, ada amalan di kalangan lelaki berusia yang berkhatan kali kedua kononnya supaya ereksi mantap semula. Ini semua mengarut kerana jika banyak kulit dipotong, zakar menjadi pendek dan apabila capai ereksi, akan terasa sakit di pangkal zakar kerana kulit tidak cukup untuk menarik otot zakar. Anda tidak perlu bimbang dengan keadaan zakar yang kelihatan hodoh itu, lagipun ia bukan untuk ditayang kepada umum! Yang penting, anda sudah berkhatan dan yakin dengan kebersihannya.