Buah dada besar

0 comments
BAGI lelaki sejati, mempunyai buah dada besar adalah perkara memalukan. Namun, jika itu berlaku disebabkan obesiti dan lemak, ia bukan sesuatu yang membimbangkan kerana hanya perlukan disiplin diet yang ketat untuk mengatasinya.

Cuma, perkara yang perlu diberi perhatian ialah buah dada membesar di kalangan lelaki akibat Gynecomastia. Ia istilah teknikal perubatan mengenai fenomena buah dada lelaki membesar.

Antara Gynecomastia paling kerap berlaku dikenali sebagai ‘Pubertal Mastitis‘ atau ketumbesaran buah dada akibat akil baligh, yang mana isu ini pernah saya kupas sebelum ini.

Ia berlaku akibat tindak balas hormon Estrogen yang dihasilkan pundi Adrenal dan pada masa sama akibat buah zakar membesar pada peringkat awal baligh tetapi mengecut dua atau tiga tahun kemudian.

Bagaimanapun, perkembangan dunia perubatan baru-baru ini mendedahkan, keghairahan lelaki meningkatkan kemampuan seksual tanpa memikirkan kesan negatif akibat bahan yang diambil turut menjadi faktor penyumbang.

Antaranya, beberapa krim herba mengandungi butea superba, minyak lavender dan minyak tea tree. Jika bahan ini digunakan sebagai krim badan atau untuk anggota sulit sebagai krim ‘pembesar’ zakar ia boleh mengakibatkan kemunculan buah dada di kalangan lelaki muda.

Sehubungan itu, penting untuk kita berhati-hati apabila mengguna losyen atau krim untuk alat sulit bagi mengelak tindak balas sampingan sehingga mengakibatkan buah dada anda membesar.

Berbalik kepada masalah Gynecomastia, anda tidak perlu bimbang kerana dengan rawatan bersesuaian, masalah ini dapat diatasi. Misalnya, kes Hipogonadisme atau keadaan kekurangan hormon Testosterone di kalangan lelaki yang menyebabkan tindak balas hormon Estrogen merangsang ketumbesaran buah dada.

Apabila hormon Testosterone diberikan sebagai mengganti hormon yang kurang, masalah ketumbesaran buah dada terkawal. Kadangkala ubat tertentu seperti ubat Cimetidine (untuk gastrik) atau Ketoconazole (ubat nyah kulat) jika dimakan lama boleh menyebabkan kemunculan buah dada di kalangan lelaki.

Lelaki yang mengalami kerosakan buah zakar atau kanser buah zakar juga mempunyai buah dada besar seperti anak dara sunti. Justeru, sangat mustahak untuk lelaki sudah baligh dua atau tiga tahun tetapi mendapati buah dadanya masih membesar merujuk kepada doktor untuk menjalani pemeriksaan buah zakar.

Kadangkala barah buah zakar itu kecil dan tidak dapat dirasa dengan cara pemeriksaan kendiri. Ujian darah Beta HCG dan Alfa-Feto Protein jika positif menggambarkan kemungkinan barah buah zakar.

Lemak yang banyak di paras dada memberi gambaran seolah-olah buah dada besar, tetapi itu bukan buah dada, sebaliknya lemak.

Sama juga dengan kes otot dada yang mantap akan kelihatan seperti buah dada besar. Lelaki gempal tidak perlu khuatir jika buah dada mereka besar dan paling mustahak sekiranya ia membesar pada saiz agak luar biasa, mustahak untuk berjumpa doktor bagi menjalani pemeriksaan dan rawatan sewajarnya.
If you like this post, please share it!
Digg it StumbleUpon del.icio.us Google Yahoo! reddit

No Response to "Buah dada besar"

Catat Ulasan