Keluar dua arah

0 comments

SOALAN

APABILA saya membuang air kecil, air kencing keluar dua arah (keluar bercabang). Adakah ini kerana kerap melakukan onani atau ada masalah lain? Harap doktor dapat memberi penjelasan. Adakah masalah ini berbahaya dan apakah rawatan sesuai yang perlu dilakukan?

RAHIM
Bukit Sentosa, Selangor


JAWAPAN


Pernah ada seorang pesakit bertanya mengenai kedudukan buah zakarnya yang tidak seimbang. Mengikut kefahamannya yang dia dengar daripada beberapa tukang urut, perkara itu ada kaitan dengan kelemahan syahwat dan masalah kesuburan hingga menyebabkan dia pernah menjalani ‘urutan batin’ untuk mengimbangkan buah zakarnya.

Nasib baik buah zakarnya tidak rosak walaupun selepas dua kali diurut, tetapi akhirnya masalah lain pula timbul apabila buah zakarnya pula terasa sakit dan senak!

Jika kita kaitkan dengan perkara kencing bercabang yang anda alami, sudah tentu cerita sama juga diketengahkan. Mereka mungkin menyatakan air kencing bercabang sebagai tanda mati pucuk atau air mani tidak subur atau apa-apa yang negatif.

Mereka mungkin cadangkan zakar diurut atau ditarik. Pernah seorang pesakit memberitahu, ketika mendapatkan rawatan urut, seorang tabib batin mengurut zakarnya sambil menyentap zakar!

Sebenarnya air kencing keluar bercabang kerana bahagian hujung pembukaan lubang kencing luas dan tertutup atau kulit mukosa pembukaan salur kencing di bahagian penghujung melekat di pertengahan buat seketika.

Biasanya keadaan ini akan kembali seperti sedia kala. Kulit mukosa itu terlekat mungkin kerana ditindih seperti yang biasa berlaku apabila pakai seluar dalam ketat.

Itu bukan masalah dan tiada kaitan dengan masalah lain, jadi jangan mudah terpengaruh dengan penjelasan dan pendapat orang yang tidak bertauliah. Air mani tidak akan keluar bercabang dan tidak menjejaskan kesuburan anda!
If you like this post, please share it!
Digg it StumbleUpon del.icio.us Google Yahoo! reddit

No Response to "Keluar dua arah"

Catat Ulasan