Kencing malam

0 comments
KENCING dalam tidur pada waktu malam atau ‘nocturnal enuresis’ adalah masalah biasa yang kerap berlaku kepada orang dewasa.

Dijangkakan seorang dalam 50 orang dewasa mengalami masalah ini dan sebilangan besar tidak mendapat apa-apa rawatan kecuali mendiamkan diri.

Sebilangan besar daripada masalah itu sebagai lanjutan daripada kanak-kanak yang tidak mendapat rawatan atau putus rawatan dan sebilangan lagi berlaku dalam peringkat umur lanjut.

Jika seseorang itu mengalami masalah itu dari peringkat kanak-kanak, kemungkinan besar masalah dialaminya ketika kanak-kanak tidak dapat perhatian keluarga atau putus rawatan apabila usianya meningkat.

Ramai doktor berpendapat masalah itu akan menurun dan tiada lagi apabila usia menjangkau dewasa, tetapi sebenarnya ia kesilapan besar. Kebanyakan masalah dari peringkat kanak-kanak sebenarnya ada kaitan dengan baka atau keturunan.

Ada banyak sebab masalah itu berlaku dan jika ia susulan dari peringkat kanak-kanak, masalah utama ialah gangguan fungsi pundi kencing yang tidak dapat menampung air kencing yang banyak ketika dalam tidur, sebab itu air kencing keluar secara tidak sengaja.

Sepatutnya penghasilan air kencing menurun ketika tidur, tetapi ia tidak berlaku. Ini mungkin akibat masalah tidur yang tidak lena hingga menyebabkan penghasilan air kencing masih berlaku.

Adakalanya tidur sangat lena sehingga tidak dapat bangun untuk membuang air kencing, lalu menyebabkan seseorang itu terkencing dalam tidur! Tidur berdengkur yang menyebabkan masalah pernafasan dikenali sebagai ‘sleep apnea’ juga menyebabkan penghasilan air kencing yang banyak dan membuatkan terkencing dalam tidur.

Ini juga boleh menyebabkan gangguan pengeluaran hormon Anti Diuretic Hormon yang mengawal proses penghasilan air kencing.

Jika pengeluaran hormon itu rendah, banyaklah air kencing ketika dalam tidur dan terkencinglah individu itu dalam tidur.

Tekanan emosi yang terhasil daripada masalah kencing dalam tidur itu memberatkan lagi keadaan dan membuatkan individu itu tidur tidak lena.

Makan dan minuman seperti coklat atau kafein serta minuman bergula juga mempengaruhi isi padu pundi kencing dan memberatkan lagi kemungkinan terkencing waktu tidur.

Pundi kencing yang kecil, padat dan radang akibat jangkitan boleh memberatkan lagi kemungkinan terkencing waktu tidur.

Untuk lelaki dewasa pula, masalah bengkak pundi prostat dan kesempitan pembukaan pundi kencing membuatkan air kencing tidak keluar sepenuhnya.

Dengan air kencing yang banyak bertakung dalam pundi kencing dan pemerosesan air kencing yang berlaku ketika dalam tidur sehingga pundi kencing padat dan tertekan menyebabkan air kencing terkeluar ketika dalam tidur boleh berlaku.

Jadi, masalah kencing ketika tidur waktu malam kerana banyak sebab dan ia sebenarnya boleh dikawal dengan rawatan sewajarnya. Yang penting, seseorang itu tidak perlu malu untuk mendapat rawatan.
If you like this post, please share it!
Digg it StumbleUpon del.icio.us Google Yahoo! reddit

No Response to "Kencing malam"

Catat Ulasan