Serangan kanser

0 comments
BARAH atau kanser kini dikenal pasti antara penyakit pembunuh utama di negara ini dengan pelbagai jenis kanser seperti payu dara, tulang dan otak melanda masyarakat.

Namun, tidak ramai tahu mengenai kanser anggota reproduktif kerana mungkin jarang didengar di dalam masyarakat berbanding kanser jenis lain. Biasanya kanser anggota reproduktif menyerang pundi prostat, buah zakar dan zakar.

Seperti kanser lain, jangka hayat mereka yang menderita penyakit ini dapat dipanjangkan jika ia dikesan pada peringkat awal. Kanser pundi prostat biasanya menyerang lelaki berusia 65 tahun ke atas. Ia jarang dikesan pada mereka berusia di bawah 50 tahun.

Tanda awalnya ialah bengkak pundi prostat, sekali gus menyebabkan salur kencing tersekat. Mereka yang menderita kanser ini menghadapi masalah kencing tidak puas atau tersekat-sekat.

Ada cara tertentu bagi mengesan kanser pundi prostat sebagai langkah pencegahan di peringkat awal dengan harapan ia dapat membantu penghidapnya.

Pengidap boleh mengetahui dia menghidap penyakit ini apabila mengalami simptom kencing tidak lancar atau tersekat-sekat.

Jika mengalami keadaan seperti itu, individu terbabit dinasihatkan membuat pemeriksaan DRE (Digital Rectal Examination) dan ujian darah PSA. Mereka juga perlu melakukan pemeriksaan air kencing untuk kesan darah dan sekali gus mendapatkan pengesahan.

Selain usaha mengesan dan mengenal pasti penyakit berkenaan di peringkat awal, ada juga beberapa cara untuk menghindari kanser pundi prostat itu.

Antaranya, kurangkan makan makanan berlemak dan daging merah tapi banyakkan makan daging putih, sayur-sayuran dan buah-buahan serta kawal berat badan.

Sementara itu, kadar kanser buah zakar dan zakar berlaku ialah satu peratus daripada kanser yang menyerang lelaki. Ia biasanya dikesan di kalangan mereka yang berusia di antara 15 dan 30 tahun dan jarang berlaku kepada mereka yang berusia lebih 40 tahun.

Kemungkinan penyakit ini menyerang buah zakar yang tidak turun ke dalam kerandut ialah empat kali ganda lebih besar.

Satu lagi fakta yang perlu diketahui ialah jika ia berlaku kepada anda, kemungkinan ia berlaku kepada adik atau abang anda ialah 10 kali ganda.

Antara simptom kanser buah zakar ialah wujud ketulan atau bengkak pada buah zakar. Ia boleh dikesan melalui pemeriksaan kendiri buah zakar (testicular self examination) yang boleh dilakukan sebulan sekali atau mengikut kesukaan lelaki.

Dilakukan ketika mandi, pemeriksaan dilakukan dengan dua tangan dari bawah ke atas serta depan ke belakang dengan meneliti bentuk buah zakar secara menyeluruh.

Bagaimanapun, untuk mendapatkan kepastian atau pengesahan jika ada perubahan kepada saiz, bentuk dan kemunculan ketulan perlu diselidik dengan berjumpa doktor.
If you like this post, please share it!
Digg it StumbleUpon del.icio.us Google Yahoo! reddit

No Response to "Serangan kanser"

Catat Ulasan