Suami hilang naluri

0 comments
SEKARANG ini masuk musim cuti sekolah dan ketika ini ramai mengambil kesempatan untuk mengadakan kenduri bagi meraikan pasangan pengantin baru, membuatkan deretan jemputan kahwin diterima hingga ada yang terpaksa pergi selepas majlis kenduri berlangsung.

Saya tidak salahkan pihak yang mengadakannya kerana sememangnya tepat untuk mengadakan kenduri pada waktu sebegini kerana saudara mara dan rakan yang tinggal jauh boleh hadir.

Begitu juga bagi pasangan pengantin, tentu mereka mahukan majlis kenduri dan persandingannya kelihatan meriah dengan kehadiran ramai saudara dan rakan.

Namun kali ini saya bukan mahu bercerita panjang mengenai kenduri tetapi persediaan seseorang itu yang bakal mendirikan rumah tangga.

Bagi saya, mana-mana lelaki yang mahu mendirikan rumah tangga sedikit sebanyak tahu kewajipan mereka daripada aspek memberi nafkah batin, iaitu mampu melakukan hubungan seksual dan yakin dengan kemampuan seksualnya.

Jika tidak, saya pasti mereka tidak akan terfikir untuk berkahwin, lebih-lebih lagi jika kurang yakin dengan kemampuan seksual mereka.

Sebilangan lelaki yang biasa dengan amalan onani dengan cara tersendiri akan dapati mereka hanya dapat mencapai klimaks atau kemuncak rangsangan seksual dengan cara itu dan cara lain tidak mendatangkan apa-apa perubahan, malah tidak lagi seronok.

Saya pernah mengendalikan kes seperti ini iaitu si lelaki hanya seronok dengan cara menggunakan tangannya untuk merangsang anggota sulitnya dan dia dapat mencapai kemuncak apabila memicit dan menarik zakarnya dengan kuat.

Sudah tentu cara dilakukannya tidak dapat memberi hasil sama jika dia melakukan hubungan seks penetratif dengan pasangannya.

Tanpa tarikan dan geselan kasar bila dia sangat perlukannya untuk mencapai kemuncak, geselan dalam faraj tidak dapat memberi kepuasan sebegitu, jadi sampai sudah dia tidak mencapai kemuncak. Sudah tentu dia rasa kecewa dan tanpa pengetahuan pasangannya, dia akan melakukan onani untuk melepaskan perasaan nafsunya.

Dia hanya lakukan seks penetratif tanpa mencapai klimaks semata-mata untuk menunaikan tanggungjawabnya. Secara kebetulan dia dan pasangannya jumpa saya kerana ‘masalah kesuburan’ dan selama ini pasangannya tidak tahu mengenai kesulitannya.

Untuk mengakhiri cerita, saya jelaskan kesulitannya kepada pasangan dan pasangan itu sanggup menerima keadaannya itu dan boleh terima cara yang membolehkan pasangannya hamil iaitu dia mengeluarkan air maninya dengan tangan dan sampel air mani itu dimasukkan ke dalam faraj isteri melalui alat picagari, ketika isteri dalam waktu subur.

Kesudahannya, isterinya hamil dan buat seketika kehidupan mereka tenteram walaupun keadaannya tidak berubah. Inilah risiko onani yang dilarang agama kita.

Bagi sesiapa yang mungkin mengalami perkara sama, iaitu mungkin terikat dengan amalan onani, perlu segera mengubah tabiat demi kepentingan rumah tangga dibina.

Hargailah kehadiran isteri, si suami perlu tunaikan tanggungjawab batin dan jangan biarkan pasangan ternanti-nanti belaian seorang suami.

Jika ada masalah, ia perlu dibincangkan bersama pasangan dan jangan dipendamkan. Jika mahu mendapatkan khidmat saya, boleh datang ke Damai Service Hospital di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Lebih baik jika dibawa isteri bersama untuk bimbingan dan rawatan.
If you like this post, please share it!
Digg it StumbleUpon del.icio.us Google Yahoo! reddit

No Response to "Suami hilang naluri"

Catat Ulasan